Dua pelajar peroleh Mumtaz Suffi dalam STAM di Pahang

Dua pelajar peroleh Mumtaz Suffi dalam STAM di Pahang

Izzah Yusoff

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

Gambar arkib

KUANTAN: Dua pelajar di negeri ini mencatatkan keputusan Mumtaz Saffi apabila memperoleh 10 A+ untuk semua 10 matapelajaran yang diambil dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2020.

  Mereka ialah Hasyiem Yusof dari Kulliah Al-Lughah Waddin As Sultan Abu Bakar, Pekan dan Aisyah Abdul Wahab dari Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Maarif, Kuantan.

  Sementara itu, seramai 36 pelajar memperoleh Mumtaz iaitu tujuh orang 9A, 14 orang (8A), empat orang (7A), lapan orang (6A) dan tiga orang (5A).

  Selain itu, sebanyak enam sekolah agama mencatatkan peningkatan bagi keputusan STAM tahun ini berbanding tahun lalu.

  Sekolah terbabit ialah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SBAK) Maarif Bukit Goh, Kuantan; SMA Al-Khairiah, Temerloh; Kulliah Al-Lughah Waddin As Sultan Abu Bakar, Pekan; Maahad Jengka; SMA Al-Wosto, Temerloh dan SMA Padang Tengku, Kuala Lipis. 

  Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, kejayaan itu adalah hasil usaha gigih pelajar dan ibu bapa masing-masing selain guru dan bahagian pendidikan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim  Syed Ahmad menunjukkan keputusan cemerlang Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM)  peringkat negeri Pahang yang diumumkan tengahari tadi.

  “Bagi calon persendirian pula, seramai 28 orang dan tujuh daripada mereka memperoleh keputusan cemerlang. Secara keseluruhannya, seramai 665 calon menduduki peperiksaan STAM di Pahang tahun lalu. 

  “Saya berasa lega sedikit sebanyak ke atas usaha kerajaan negeri memartabatkan pendidikan di sekolah-sekolah di negeri ini termasuk sekolah agama melalui pelbagai pendekatan,” katanya.

  Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 42 calon tidak menghadirkan diri ke dewan peperiksaan.