Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@gmail.com
MARAN: Dua ribu unit peranti akan diterima pelajar sekolah menengah daripada keluarga B40 di Pahang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Semantan, Dato’ Nor Azmi Mat Ludin, berkata pengagihan peranti itu akan dilakukan pengetua sekolah.
“Dengan peranti ini, pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan akan dapat belajar dengan lebih baik melalui kaedah pembelajaran baharu pada masa kini.
“Oleh itu, pelajar diharap dapat memanfaatkan sebaik mungkin peranti dan berusaha memperoleh keputusan cemerlang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan peranti E-Learning oleh Malaysian Rubber Council (MRC) dengan kerjasama Celcom dan Majlis Pengetua Malaysia di pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Maran, hari ini.
Nor Azmi mewakili Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.