Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Pic Mohd Imran Izzad
PEKAN: Permintaan yang menggalakkan menjadi pembakar semangat buat dua sahabat untuk terus mengusahakan projek ternakan udang putih secara komersil di Zon Industri Akuakultur (ZIA) Sungai Miang, di sini, walaupun berhadapan pelbagai cabaran.
Antara cabaran yang terpaksa ditempuhi ialah ancaman memerang dan biawak besar secara berterusan sehingga menyebabkan kerugian hasil yang sepatutnya diraih.
Namun kini projek diusahakan sejak 21 tahun itu oleh Mazri Mohd Ali, 50, dan All Fisha Abdul Ghafar, 53, membabitkan tujuh kolam di tapak seluas 20 hektar terus meraih kejayaan yang membanggakan.
Mazri berkata, memerang adalah musuh utama sebelum ini yang lazimya menceroboh kolam pada waktu malam dan dianggarkan seekor haiwan berkenaan mampu makan udang di antara satu hingga dua kilogram (kg) setiap kali ‘serangan’.
“Kehadiran haiwan berkenaan dapat dikesan berdasarkan penemuan longgokan muntahnya di atas batas kolam terutama yang terletak bersebelahan dengan hutan belukar.
“Penggunaan pagar zink antara kaedah berkesan menghalang memerang yang bergerak secara berkumpulan antara tiga hingga lapan ekor menceroboh kolam secara berterusan. Saya juga menggunakan beberapa ekor anjing untuk mengawal serta menghalau memerang.
“Turut memberi ancaman adalah biawak besar yang lazimnya memburu udang pada waktu siang namun jumlahnya tidak sebanyak memerang,” katanya.
Beliau menambah, walaupun berdepan dengan pelbagai ancaman, projek ternakan udang putih diusahakan tetap diteruskan kerana permintaan yang menggalakkan daripada pemborong tempatan dan luar negara.
“Menternak udang putih lebih mudah berbanding ikan siakap, tilapia dan patin kerana dalam tempoh 70 hingga 120 hari bergantung kepada permintaan ternakan boleh dijual kepada pemborong.
“Jenis makanan, kandungan oksigen dan peratusan masin air dalam kolam penting untuk mendapatkan hasil terbaik dan memuaskan,” katanya yang pernah menjadi nelayan di Kampung Nenasi, di sini.
Sementara itu, All Fisha berkata, sebelum ini mereka menternak udang harimau namun hanya mampu bertahan beberapa pusingan sahaja berikutan ancaman penyakit selain peratus pembesaran yang panjang menyebabkan kos bertambah dua hingga tiga kali.
“Kami memasarkan udang putih untuk pasaran dalam negara dan Singapura. Permintaan begitu tinggi malah pada bulan tertentu jumlahnya meningkat dua hingga empat kali ganda sehingga tidak dapat dipenuhi.
“Saiz kolam antara 0.4 hingga 0.7 hektar boleh memuatkan sehingga sejuta udang putih dan setiap kolam dapat menghasilkan antara tiga dan empat tan metrik udang putih dan dijual pada harga antara RM25 dan RM40 sekilogram,” katanya.
Menurutnta, sokongan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dan Jabatan Perikanan Negeri Pahang melancarkan lagi projek yang diusahakan bagi menjadikan daerah ini sebagai pengeluar utama produk akuakultur.
“Kami bercita-cita untuk membesarkan projek ternakan udang putih bagi memenuhi permintaan pengguna selain untuk meletakkan daerah ini sebagai antara pengeluar utama udang di negara ini,” katanya.