Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Kira-kira seribu penduduk di sekitar daerah ini ceria apabila menerima dua kilogram ikan pelaling setiap seorang pada Program `fish bank’ di perkarangan pasar raya borong MO Wholesales, di sini, hari ini.
Pengagihan ikan secara pandu lalu itu selesai dalam dua jam yang bermula pada 8.30 pagi, dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pengarah Eksekutif Operasi MO Wholesales, Mohd Rofzan Mohd Latiff berkata, pihaknya menyediakan 2,000 kilogram ikan pelaling untuk diagihkan kepada seribu penduduk di daerah ini.
Katanya, bekalan ikan itu diyakini membantu meringankan beban golongan yang terkesan dengan wabak penularan COVID-19.
“Idea fish bank’ lain berbanding ‘food bank’ yang kebanyakannya menyediakan barangan kering,” katanya.
“Kami bercadang untuk meneruskan pengagihan ikan ini dari semasa ke semasa iaitu bergantung kepada bekalan ikan.
“Hari ini kami memberikan ikan pelaling kerana stok yang banyak dan kemungkinan jika memperoleh stok ikan spesies lain, penerima akan menerima ikan lain pula,” katanya.