KUANTAN: Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang melakukan pengeluaran khas RM10,000 perlu berpada-pada untuk berbelanja pada musim perayaan ini.
Timbalan Menteri Kewangan I, Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah, berkata justeru, pencarum terbabit perlu menguruskan wang yang dikeluarkan dengan baik.
“Perayaan seperti hari raya, datang setiap tahun tetapi duit RM10,000 yang dikeluarkan tidak datang setiap tahun.
“Nasihat saya, gunakanlah sebaik mungkin kerana jika tidak, ia tidak akan memberi kesan positif kepada pencarum,” katanya kepada Fikrah Pahang di Sungai Lembing, dekat sini, semalam.
Beliau juga menasihatkan pencarum terbabit supaya berhati-hati dan elakkan daripada tertipu dengan helah sindiket penipuan yang cuba mengambil kesempatan atas pengeluaran dana berkenaan.
“Maklumlah, bila dah banyak duit, makin aktiflah pihak yang cuba mengaut keuntungan dengan cara menipu,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN