Duit lesap, iPhone pun tak dapat

Duit lesap, iPhone pun tak dapat

Oleh Fath Ahnaf

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Hasrat pelayan restoran untuk memiliki iPhone 12 Pro Max tidak kesampaian apabila dia ditipu dalam urusan pembelian telefon pintar berkenaan sehingga kerugian RM6,300.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa berusia 20 tahun dari Bentong, tertarik untuk memiliki telefon itu selepas melihat iklan di Instagram.

“Mangsa menghubungi penjual untuk berbincang dan bersetuju untuk membeli telefon itu sebelum membuat dua bayaran, masing-masing RM2,800 dan RM3,500 ke dua akaun berbeza.

“Selepas memasukkan wang berkenaan, mangsa diminta untuk memasukkan wang lagi menyebabkan dia curiga dan mengesyaki ditipu.

“Kes masih lagi disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana memperdaya mangsa dengan menawarkan penjualan iPhone tidak wujud sehingga menyebabkan kerugian,” katanya.