Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
JERANTUT: Pekebun dinasihatkan untuk menumpukan usaha menanam durian klon berbanding jenis kampung jika meraih pendapatan lumayan.
Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Abdul Rashid Bahri, berkata pekebun luar bandar juga perlu bersedia untuk menerima pertanian moden berbanding tradisional ketika ini.
Menurutnya, harga jualan ladang durian kampung juga rendah, sukar untuk menguruskan kebun manakala buah yang dihasilkan tidak banyak berbanding durian klon.
Katanya, harga jualan ladang durian kampung hari ini berada di bawah RM2 sekilogram berbanding RM10 ke atas bagi durian klon.
“Sekiranya pekebun terlalu sayangkan durian jenis kampung yang mungkin peninggalan pusaka ahli keluarga dan ingin mengekalkannya, mereka masih boleh berbuat demikian dengan cara mencampurkan durian klon dalam satu kawasan.
“Kaedah cantuman dewasa pokok durian kampung boleh dilakukan bagi menghasilkan durian klon yang mampu memberi hasil yang lumayan,” katanya pada program lawatan kerja bagi meninjau pengeluaran durian di daerah ini, semalam.
Turut sama Timbalan Pengarah FAMA Pahang, Yazid Yusob dan Pegawai Fama Daerah Jerantut, Yusri Jantan.
Abdul Rashid berkata, Jabatan Pertanian peringkat daerah dan negeri ada menyediakan khidmat nasihat serta program pemulihan dusun dalam usaha membantu pekebun untuk menukar pokok durian kampung kepada durian klon.
Katanya, setiap tahun pengeluaran durian kampung bertambah namun dengan harga yang rendah ia tidak mampu memberi pendapatan lumayan kepada pekebun berbanding mereka yang mengusahakan kebun durian klon.
“Durian kampung banyak di Pahang, Terengganu, Kelantan, Johor dan Perak. Ia lebih tertumpu pada pasaran tempatan dengan harga ladang yang rendah. Selebihnya dijadikan produk hiliran seperti pes dan tempoyak.
“Berbanding durian klon seperti Musang King, D24, IOI, Tekka, Udang Merah dan Duri Hitam yang mendapat permintaan tinggi, terutama dari negara luar,” katanya.