Duka jadi gembira

Duka jadi gembira

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar/video Mustaffa Kamal

TEMERLOH: Minggu lalu dia dan keluarga terpaksa berdepan detik sukar dalam kehidupan apabila rumah yang dianggap mahligai, hangus dalam kebakaran dalam kejadian di Kapung Paya Sendayan, dekat sini.

Namun minggu ini, perasaan duka bertukar 180 darjah menjadi gembira apabila dia mendapat tahu rumah yang musnah itu akan digantikan dengan kediaman lebih baik, sempurna dan selesa.

Ini kerana kerajaan negeri bersetuju menghadiahkan Rumah Rakyat Pahang (RRP) kepada Agus Adam, 40, di tapak rumah lamanya itu.

“Kebakaran itu berlaku 31 Ogos lalu, ketika saya, isteri dan anak tiada di rumah kerana pergi mengambil buah rambutan di kawasan berdekatan.

“Ia (kebakaran) berpunca daripada dapur kayu yang terpaksa digunakan isteri saya untuk memasak selepas gas habis. Isteri saya kemudian mengajak saya cari rambutan sementara tunggu lauk masak dan ketika itulah kebakaran berlaku,” kata Agus kepada Fikrah Pahang, hari ini.

Menurut bapa kepada tiga anak berusia enam bulan hingga 15 tahun itu, ketika ini dia sekeluarga terpaksa menumpang di rumah keluarga mentuanya buat sementara waktu.

“Apa nak buat, kebakaran itu memusnahkan segala harta benda kami dengan kerugian mencecah RM20,000. Malah baju pun saya tidak sempat pakai waktu kejadian.

“Mujur YAB Menteri Besar dan Dato’ Syed (Ibrahim) begitu prihatin membantu keluarga kami,” katanya.

Kejadian itu mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad yang melakukan kunjungan bagi melihat tapak rumah yang bakal dibina RRP itu.

Syed Ibrahim berkata, kunjungan itu adalah kali kedua dilakukannya untuk menyampaikan hasrat YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail yang bersetuju menghadiahkan RRP kepada keluarga Agus.

“Kebetulan selepas tiga hari kejadian kebakaran berlaku, YAB Menteri Besar mengumumkan mengenai tambahan RRP untuk dibina tahun ini dan saya mengambil peluang itu untuk memaklumkan kepadanya mengenai kejadian menimpa keluarga Agus ini.

“YAB Menteri Besar kemudian bersetuju supaya RRP di kawasan Kerdau ini, satu diberikan kepada Agus dan kita harap pihak kontraktor dapat segera menyiapkannya,” katanya.