KUANTAN: “Dulu saya suka ‘huha-huha’ (berpelisiran), tapi lepas dengar nasihat diberi dalam program ini, rasa macam tersedar dan nak lebih serius dalam hidup,” kata Wan Rosazuan Wan Aziz, 25, dari Rumpun Makmur, Temerloh.
Wan Rosazuan antara 40 pemuda dari Kampung Rumpun Makmur yang menyertai Program Santai Konvoi Anak Muda selama dua hari bermula semalam di Pantai Balok di sini.
“Ceramah yang disampaikan dalam program ini dibuat secara santai dan memang mudah nak faham serta beri kesedaran selain penceramah beri banyak tips mengenai kepemimpinan.
“Program ini juga membolehkan saya berjumpa dengan ramai rakan sekampung… kalau tak buat program macam ini, entah bila lagilah kami dapat berkumpul ramai-ramai,” katanya yang menjalankan perniagaan kedai makan di kampungnya.
Bagi Firdaus Ahmad Kamal, 18, program itu amat menyeronokkan kerana bukan sahaja banyak aktiviti menarik disediakan, malah peserta diberikan motivasi dan kefahaman mengenai apa yang harus dilakukan untuk berjaya.
“Pihak urusetia program juga menyedarkan kami terutama berkaitan hak dan peluang anak muda untuk membina negara, contohnya dengan memilih pemimpin yang betul-betul berwibawa serta ikhlas membantu rakyat.
“Paling saya tak sangka, orang Umno yang turut sama dalam program ini sebenarnya ‘satu kepala’ dan mudah didekati, jauh beza dengan apa yang didengari sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, Exco Pemuda Umno Bahagian Kuala Krau merangkap pengarah projek, Dr Mohd Redzwan Abdul Mutalib, berkata objektif program itu adalah untuk menarik anak muda supaya dekat dengan pemimpin Umno bahagian selain merapatkan ukhwah antara mereka.
“Kita nak bentuk mereka supaya boleh berpersatuan dan kalau boleh nak mereka jadi pemimpin bagi komuniti anak muda.
“Program ini diadakan secara santai sahaja dengan peserta berkumpul di Rumpun Makmur sebelum berkonvoi dengan motosikal dan sampai di Pantai Balok ini jam 3 petang tadi (semalam).
“Peserta kemudian menyertai aktiviti berkuda, main bola dan mandi laut serta ada sesi ceramah ringan dan karaoke pada waktu malam di tapak perkhemahan ini,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN