Dulu pembinaan dihentikan PH, hari ini Masjid Baharu Lepar Hilir 1 terima ribuan tetamu

Dulu pembinaan dihentikan PH, hari ini Masjid Baharu Lepar Hilir 1 terima ribuan tetamu

KUANTAN: “Sebelum ini kecewa juga apabila projek pembinaan masjid ini dihentikan ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

“Alhamdulillah, hari ini saya dan penduduk sekitar amat gembira dapat menunaikan solat Jumaat berjemaah,” kata Ahmad Ibrahim, 71, dari Felda Lepar Hilir di sini.

Kariah masjid, Ahmad Ibrahim, 71

Ahmad antara kira-kira 1,000 jemaah yang hadir bagi menunaikan solat Jumaat di Masjid Baharu Lepar Hilir 1, Gambang di sini yang siap sepenuhnya dan digunakan buat pertama kali, hari ini.

Masjid yang mampu memuatkan 1,200 jemaah pada satu-satu masa itu diluluskan pembinaannya oleh Perdana Menteri keenam, Dato’ Sri Najib Razak.

Bagaimanapun, projek pembinaan masjid berkenaan terpaksa dihentikan berikutan arahan Kerajaan PH selepas gabunagn itu memenangi Pilihan Raya Umum ke14 (PRU-14) lalu.

Sementara itu, EXCO Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata masjid itu disambung semula selepas kejatuhan PH dan baru-baru ini mendapat kelulusan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) untuk digunakan mulai hari ini.  

“Terima kasih kepada pihak Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Pahang, JKR (Jabatan Kerja Raya) Daerah Kuantan dan pihak yang terbabit dalam pembinaan Masjid Baharu Lepar Hilir 1 ini.

“Saya harap penduduk kampung di sini dapat menggunakan masjid ini untuk beribadat dan untuk kegiatan aktiviti masyarakat setempat dengan sebaiknya,” katanya. – ZULKEPLI OSMAN