LIPIS: Jabatan Pertanian Pahang percaya terdapat banyak durian kampung berkualiti yang masih gagal dikesan di beberapa kampung di negeri ini.
Pengarahnya, Muhd Rizal Baharom, berkata umpama emas banyak tersembunyi di bumi Pahang begitu juga durian kampung berkualiti tinggi yang tumbuh di kampung pendalaman dan hutan belantara.
Menurutnya, jabatan berharap lebih banyak durian kampung dapat ditemui seterusnya dijenamakan semula untuk tujuan komersial dalam jangka masa panjang.
“Penjenamaan semula dapat memberikan lebih nilai ekonomi kepada penduduk kampung yang memiliki pokok raja buah itu.
“Beberapa daerah seperti Jerantut, Lipis, Bentong dan Raub sememangnya terkenal dengan pelbagai jenis durian kampung kualiti premium,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas Pertandingan Durian Kampung Premium Peringkat Daerah Lipis disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Dato’
Mustapa Long di Pejabat Pertanian Daerah Lipis, semalam.
Muhd Rizal berkata, durian Lada Kunyit dari Kampung Keledek, di sini antara durian kampung kualiti premium yang mampu diketengahkan dan dijenamakan. – MOHD IMRAN IZZAD