Durian Kampung Damak ni Musang King pun kalah

Durian Kampung Damak ni Musang King pun kalah

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

JERANTUT: Keenakan rasa yang ada pada Durian Kampung Premium (DKP) keluaran Kampung Damak menjadi faktor ramai pekebun mengekalkan pokok raja buah itu hingga kini.

Kehadiran durian Musang King dan pelbagai klon terkenal lain seolah-olah tidak menjejaskan permintaan terhadap durian jenis berkenaan.

Pemborong buah-buahan, Ahmad Mustafar, 42 berkata setiap tahun apabila tiba musim durian ramai penggemar raja buah datang ke Kampung Damak bagi mendapatkan DKP yang baru gugur dan segar.

JERANTUT. Durian Kampung Premium (DKP) keluaran Kampung Damak.

Menurutnya, selain memiliki rasa yang sedap dan berlemak, isi yang tebal dan berwarna oren menjadi tarikan utama pengemar raja buah itu untuk mendapatkanya setiap tahun.

Katanya, ciri-ciri lain terdapat pada DKP ialah buah bertangkai segar, bebas kotoran,  bentuk sempurna, isi krim, kuning atau jingga, ketebalan isi melebihi 10 milimeter (mm), kemanisan melebihi 25 brix (ukuran manis), berlemak, sedikit pahit dan buah melebihi satu kilogram.

“Pada musim durian kali ini saya mampu menjual DKP lebih satu tan sehari. Ternyata permintaan begitu hangat sehinggakan tak cukup. Ramai yang membuat  tempahan bagi mendapatkan buah jenis berkenaan.

“Kelebihan yang terdapat pada DKP seolah menutup keistimewaan yang ada pada durian Musang King keluaran daerah ini,” katanya, di sini, semalam. 

Dia yang menjalankan perniagaan di tepi Jalan Jerantut-Benta, dekat Kampung Damak, berkata disebabkan permintaan menggalakan, ramai pekebun bertindak mengekalkan pokok durian jenis berkenaan yang kebanyakan berusia lebih 40 tahun.

Ahmad berkata, kini terdapat lebih 15 pekebun yang memiliki pokok DKP di Kampung Damak dan beberapa kampung berhampiran.

“Antara DKP terkenal di Kampung Damak dan beberapa kampung lain ialah seri damak, mas hijau, kulit buaya, kepala gajah, damak king dan tembaga damak. Banyak lagi yang tiada nama khas.

“Saya berharap DKP dapat terus kekal di bumi Kampung Damak dan usaha berkenaan perlu mendapat sokongan daripada agensi kerajaan yang berkaitan,” katanya yang turut mengusahakan tapak semaian durian.