Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
BERA: Sekurang-kurangnya 390 kilogram (kg) buah-buahan bermusim disediakan kepada barisan hadapan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera (MDB), di sini, semalam.
Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) itu dikendalikan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang.
PIhak berkenaan menyediakan pelbagai buah-buahan tempatan seperti durian, manggis, rambutan dan timun.
Pengarah FAMA Pahang, Noh Nik Wan berkata, ini kali pertama pihaknya terbabit menguruskan sumbangan buah-buahan bermusim kepada petugas barisan hadapan di negeri ini terdiri daripada sukarelawan, jururawat, pegawai perubatan dan doktor.
Menurutnya, 50kg durian kampung, timun (100kg), rambutan (120kg) dan manggis (120kg) disediakan.
“Usaha yang dilakukan ini sebagai menghargai jasa petugas barisan hadapan yang banyak berkorban dalam memastikan wabak COVID-19 tidak terus menular di kalangan masyarakat di daerah ini.
“Kita mendoakan supaya petugas barisan hadapan terus dilindungi seterusnya dapat terus memikul tugas yang diamanahkan,” katanya.
Majlis penyerahan buah-buahan musim itu dilakukan Pegawai FAMA Daerah Bera, Hazimin Sulong kepada Pengurus PPV Dewan Konvensyen MDR, Dr Aidil Asyraf Mohamed.
Sementara itu, Dr Aidil Asyraf berkata lebih 50 kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan sukarelawan bertugas di PPV Dewan Konvensyen MDR setiap hari.
“Bagi pihak petugas barisan hadapan, saya mengucapkan terima kasih kepada MAFI dan FAMA Pahang yang menghargai tugas kami,” katanya yang bertugas di Klinik Kesihatan Triang.