Durian tempoyak masih laku keras

Durian tempoyak masih laku keras

Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Gambar Mohd Imran Izzad 

JERANTUT: Permintaan terhadap durian tempoyak tetap memberangsangkan pada musim raja buah kali ini walaupun penggunaannya kini begitu terhad berikutan banyak kedai makan ditutup.

Pemborong durian, Ahmad Mustafa, 42 berkata, setiap hari dia mampu menjual antara 300 hingga 500 kilogram (kg) durian tempoyak membabitkan jenis durian kampung dan klon.

JERANTUT..Pemborong durian, Ahmad Mustafa menjual durian tempoyak hingga 500 kilogram sehari.

Menurutnya, buah durian yang ada kesan rosak kerana serangan ulat buah, ditebuk tupai atau pecah ketika gugur dikategorikan sebagai durian tempoyak tanpa mengira saiz dan jenis.

“Saya jual durian tempoyak dengan harga antara RM2 hingga RM2.50 satu kg. Kebanyakan pembeli membeli secara borong seberapa banyak buah yang ada di gerai jualan.

JERANTUT..Pemborong durian, Ahmad Mustafa (kiri) memilih durian yang dihantar pekebun sebelum dijual di Jalan Jerantut-Benta dekat Kampung Damak.

“Hampir setiap hari pembeli datang untuk dapatkan durian tempoyak yang mereka pilih sendiri,” katanya di sini, hari ini.

Katanya, sekarang ini terdapat beberapa pembeli tetap durian tempoyak di daerah ini yang sering menghubunginya setiap tahun bagi mendapatkan seberapa banyak buah durian tempoyak yang ada untuk dijadikan tempoyak.

Dia yang berniaga di tepi Jalan Jerantut-Benta dekat Kampung Damak, di sini berkata, musim panas sekarang ini turut menjadi faktor durian mudah pecah sekali gus boleh dijual sebagai durian tempoyak disebabkan kualiti rendah.

“Selain penduduk setempat, ramai juga yang pembeli daripada beberapa kampung berhampiran dan luar daerah ini datang membeli durian tempoyak.

“Kebanyakan pembeli durian tempoyak adalah pembekal tempoyak dan mereka berusaha menghasilkan seberapa banyak tempoyak setiap kali musim durian bagi memenuhi permintaan pengguna,” katanya.

Selain itu, katanya, Kampung Damak terkenal antara pengeluar durian berkualiti di negeri ini, selain pelbagai jenis durian kampung asli dan kacukan terdapat juga jenis klon antaranya Musang King, IOI, Tekka, D24, udang merah, D2, D96 dan Beserah.

“Setiap hari saya mampu jual lebih satu tan pelbagai jenis buah durian kampung dan klon, malah permintaan semakin bertambah hingga tidak dapat memenuhi permintaan.

“Kampung Damak juga terkenal dengan durian kampung kacukan atau klon antaranya Seri Damak, Teka, Holo, Tembaga Damak, Tok Merah, Kepala Buaya, Durian Ganja dan Duri Hitam yang berkualiti,” katanya.