ECERDC tarik RM9.5 bilion ke Pahang, bakal wujud 6,700 peluang kerja

ECERDC tarik RM9.5 bilion ke Pahang, bakal wujud 6,700 peluang kerja

RTP online

Helmy Abd Rahmane

helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berjaya menarik komitmen pelaburan sebanyak RM9.5 bilion ke Pahang setakat ini, jauh melangkaui sasaran awal sebanyak RM5.1 bilion.  

ECERDC juga berjaya merealisasikan pelaburan sebanyak RM2 bilion di Pahang pada tahun ini. 

Pelaburan baharu itu merangkumi pembangunan tanah tinggi bersepadu, peluasan kilang pembuatan keluli dan pembuatan sarung tangan di Pahang bagi tahun 2021. 

Lebih menggembirakan, kejayaan itu dijangka mewujudkan lebih 6,700 pekerjaan baharu dan 170 peluang keusahawanan bagi rakyat Pahang.

Menteri Besar, YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau berharap ECERDC mengekalkan momentum bagi memastikan projek-projek strategik dan inisiatif-inisiatif dirancang untuk Pahang, seperti kerja-kerja infrastruktur dan program-program pembangunan modal insan, dapat diteruskan bagi mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai destinasi pilihan pelabur.

“Ini sekali gus memberi manfaat ekonomi untuk dinikmati rakyat Pahang,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER (ICC) Pahang yang diadakan secara maya hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat berkata, bagi mengekalkan momentum penarikan pelaburan ke Pahang, ECERDC terus bekerjasama dengan Kerajaan Pahang dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk mengadakan lebih banyak aktiviti promosi pelaburan pada separuh kedua tahun 2021 bagi menarik pelabur dalam sektor-sektor ekonomi utama. 

Katanya, walaupun tidak dapat mengadakan misi pelaburan ke luar negara atau acara secara fizikal, ECERDC telah menganjurkan tiga webinar pada separuh pertama 2021 untuk membina hubungan dan menarik pelabur-pelabur antarabangsa.

“Antara webinar dianjurkan ialah ‘Investment Opportunities in the East Coast Economic Region for Petrochemical and Automotive Industries’ anjuran bersama Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (JETRO), ‘Malaysia: The Oil, Gas and Petrochemical Hub for ASEAN’ dengan kerjasama wakil perdagangan dari Rusia dan ‘Investment Opportunities in Life Sciences and Medical Technology in ECER’.

“Semua webinar pelaburan ini menyaksikan penyertaan lebih 900 pelabur berpotensi dan ECERDC yakin dapat menarik pelaburan baharu ke ECER dan negeri Pahang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, ECERDC juga akan mengetengahkan Taman AUtomotif Pahang (PAP) sebagai taman perindustrian automotif hijau dengan kerjasama Malaysian Green Technology Corporation (MGTC), SIRIM dan Pusat Kecemerlangan Asia untuk Teknologi Pintar (ACES). 

“PAP sedang dipertingkatkan menjadi taman perindustrian mesra alam yang dilengkapi dengan ciri penjimatan tenaga, tenaga boleh diperbaharui yang dikuasakan solar dan sistem pengurusan sisa holistik, selaras dengan peralihan global ke arah kenderaan elektrik (EV) dan Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020),” katanya.

Menurutnya, inisiatif berkenaan dijangka dapat menarik pelaburan baharu dalam pembuatan EV.  Antara jenama terkenal yang kini beroperasi di PAP adalah Mercedes-Benz, Volkswagen, Isuzu dan Mitsubishi.

“PAP juga menempatkan DRB-HICOM University of Automotive Malaysia yang menyediakan tenaga kerja mahir bagi sektor-sektor automotif dan juga salah satu syarikat perintis di PAP iaitu HICOM Automotive Manufacturers (M) Sdn Bhd,” katanya.