BERA: Pertelagahan pendapat, perselisihan faham sesama sendiri hendaklah dielakkan sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) agar Barisan Nasional (BN) memperoleh kejayaan.
Naib Presiden UMNO yang juga YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, berkata berbalas kenyataan tidak membawa kebaikan kepada parti.
“Saya harap tidak kira siapa dalam UMNO dan BN agar dapat memberi tumpuan untuk menang besar di kawasan yang ditandingi,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Penduduk Kampung Batu Papan di Kuala Bera, di sini, hari ini.
Ismail Sabri berkata, setiap kemenangan sama ada di DUN dan Parlimen adalah penting kepada parti dalam usaha untuk pembentukan kerajaan yang dominan.
“Apa yang penting kini adalah menguatkan parti dan menang pilihan raya adalah sasaran kita (BN),” katanya.
Beliau berkata, rakyat sedang memerhati dan menilai setiap tindak tanduk calon dan tindakan yang tidak mendatangkan kebaikan akan membuka ruang kepada pelbagai spekulasi dan persepsi negatif.