Elak budaya ‘cah keting’ sesama calon

Elak budaya ‘cah keting’ sesama calon

KUANTAN: “Jangan ada yang amalkan budaya ‘cah keting’. Siapa yang dicalonkan itulah kita sokong.”

Demikian ditegaskan Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Dato’ Indera Mustaffar Kamal Abdul Hamid, ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Indera Mahkota di Kompleks Dagangan Mahkota, Indera Mahkota, di sini, hari ini.

Menurutnya, budaya cah keting itu seolah-olah menunjukkan sikap tidak matang calon sendiri yang bertindak ‘memburukkan’ sesama sendiri.

“Dia (calon) tahu nama kawannya turut tersenarai dan mula saling buruk-memburuk antara satu sama lain. Situasi ini boleh memecahkan ahli kerana masing-masing mempunyai penyokong.

“Kenapa perlu ada sikap seperti itu. Calon-calon mempunyai cara kerja tersendiri yang keseluruhannya akan dinilai oleh pucuk pimpinan sebelum pemilihan dilakukan,” katanya. 

Dalam pada itu, katanya, jentera UMNO sudah siap siaga sepenuhnya turun padang menemui masyarakat dan pengundi menjelang Pilihan Raya Umum Ke 15 (PRU15) yang akan diadakan tidak lama lagi.

“Kita akan bergerak sepenuhnya di peringkat bahagian, wanita dan sayap parti, puteri dan pemuda turun sehingga peringkat akar umbi untuk memenangi hati rakyat.

“Jika kita berjaya (menangi hati rakyat)tidak mustahil kita boleh rampas semula Parlimen Indera Mahkota, Dewan Undangan Negeri (Dun) Semambu dan Beserah dalam PRU 15.

Untuk rekod, jumlah ahli UMNO Bahagian Indera Mahkota mencecah 13,000 manakala pengundi pula 119,508. – NUR HANNAH KHADIJAH