Elak bunga hiasan dikebas, MBK pasang CCTV

Elak bunga hiasan dikebas, MBK pasang CCTV

Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Sebanyak 16 kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) bagi memantau kegiatan vandalisme, termasuk kes kecurian pokok bunga hiasan.

Difahamkan, setakat ini antara lokasi CCTV dipasang ialah di Jalan Kuantan-Pekan, dekat Kolej Universiti Islam Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS), Jalan Kuantan-Gambang, Jalan Pintasan Kuantan dan Jalan Wong Ah Jang.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MBK, Norkamawati Kamal berkata, bagi pemantauan pokok bunga hiasan, empat CCTV diletakkan di lokasi tumpuan.

Katanya, dengan adanya CCTV itu bukan sahaja dapat memantau kegiatan vandalisme, malah kes kecurian pokok bunga hiasan dapat diatasi.

“Pada Ogos lalu, MBK kerugian RM2,500 apabila 150 pokok bunga hiasan spesis ‘ixora sunkist’ dicuri di Jalan Kuantan-Gambang dekat Taman Tas.

“Tidak mahu kejadian berulang, papan tanda amaran anda sedang diperhatikan CCTV’dipasang di sepanjang jalan terbabit,” katanya.

Sebelum ini, MBK dilaporkan kesal apabila pokok bunga hiasan yang ditanam hilang akibat dicuri ketika usaha untuk mengindahkan bandar raya Kuantan.