BERA: UMNO dan Pas yang pernah bekerjasama sebelum ini perlu mengelak daripada caci mencaci dan tuduh menuduh antara satu dengan yang lain.
YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, berkata ahli UMNO dan Pas sepatutnya mengelak daripada perbuatan yang boleh menyinggung perasaan dengan apa cara sekalipun termasuk lah dalam berpolitik.
Naib Presiden UMNO itu berkata, umat Islam tidak patut menyerang sesama sendiri kerana hubungan mungkin boleh elok semula pada masa depan.
“Mana tahu satu hari nanti entah kita hendak duduk bersama balik demi kepentingan umat Islam dan Melayu di negara kita ini,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan pelancaran jentera Barisan Nasional (BN) Bera di Dewan Konvensyen, di sini, hari ini.
Ismail Sabri mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menegaskan Pas tidak berhasrat bermusuh dengan BN selepas mengambil keputusan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ismail Sabri berkata, beliau sendiri cuba mengelak bagi mengeluarkan kata-kata kesat kepada sesiapa sahaja terutama dalam musim PRU15.
“Kalau kita sudah terlepas cakap, tuduh yang bukan-bukan, akhirnya boleh menimbulkan sakit hati satu sama lain,” katanya.