Emas dilombong itu hak milik kerajaan lah!

Emas dilombong itu hak milik kerajaan lah!

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar/video Mustafa Kamal

KUANTAN: Semua aktiviti melombong emas di kawasan Kechau, dekat Lipis, perlu dihentikan serta-merta, sehingga penduduk terbabit mendapat lesen daripada pihak berkuasa, kata Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

Katanya, langkah tegas itu perlu diambil untuk mengelakkan keadaan menjadi tidak terkawal sehingga mengakibatkan kerajaan negeri kehilangan hasil pendapatan.

“Meskipun penduduk di situ mendakwa mereka melombong di atas tanah hak milik sendiri, namun ia menyalahi peraturan dan peruntukan undang-undang membabitkan hasil mineral yang mana ia adalah tertakluk kepada hak kerajaan Pahang.

“Mereka perlu hentikan aktiviti melombong sebelum dikenakan tindakan undang-undang yang akhirnya boleh menyusahkan mereka,” katanya selepas Program Imunisasi COVID-19 Negeri Pahang, di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini, hari ini

Hari ini, akhbar melaporkan mengenai aktiviti perlombongan emas di kawasan Kampung Kechau, Lipis.

Wan Rosdy berkata, tindakan itu tidak bermakna kerajaan negeri bertindak kejam sebaliknya isu membabitkan kepentingan rakyat harus diberi perhatian bagi memastikan kepentingan semua pihak terjaga.

“Kalau ada isu atau laporan mengenai masalah pencemaran air yang sangat dahsyat dan ia berpunca daripada aktiviti melombong emas, jadi kerajaan negeri perlu bertindak.

“Tapi ia bukan bermakna kita mengambil tindakan kejam kerana kerajaan negeri juga perlu melihat kepada isu membabitkan kepentingan rakyat,” katanya.