Empat pencuri balak bagaikan tupai jatuh ke tanah

Empat pencuri balak bagaikan tupai jatuh ke tanah

Online 

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@gmail.com

PEKAN: Empat individu diberkas selepas disyaki terbabit dengan cubaan memindahkan balak secara haram dalam kawasan hutan kerajaan di Kampung Perlak Mukim Penyor, di sini, kira-kira 4 petang semalam.

Lelaki tempatan berusia di antara 30 dan 36 itu sebelum ini sudah beberapa kali meloloskan diri dan aktif memindahkan hasil hutan tanpa permit.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Nor Azirim Ahmad berkata, keempat-empatnya ditangkap ketika hendak memindahkan balak yang sudahpun ditebang.

Menurutnya, dua daripada empat individu yang ditahan itu disyaki dalang berikutan licik memindahkan balak secara haram di beberapa daerah di Pahang.

Bagaimanapun, katanya, dua individu itu akhirnya diberkas dan tumpas di tangan anggota Unit Penguatkuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Zon Pahang Timur yang diketuai Penolong Pengarah Kanan, Muhammad Firdaus Abdul Kadir.

“Serbuan dilakukan hasil maklumat awam. Dua puluh satu anggota yang turut disertai Unit Tindakan Khas (UTK) Pejabat Hutan Daerah (PHD) Kuantan, Pekan dan Maran bersama pegawainya, Norshazlee Roslee, menyerbu kawasan itu.

“Kita bertindak mengepung kawasan terbabit selepas mengesan laluan kenderaan yang digunakan. Empat individu terbabit terkejut dan tergamam,” katanya.

Beliau berkata, semua individu berkenaan kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 15(1) (Akta 313) Akta Perhutanan Negara 1984.

Nor Azirim berkata, pihaknya turut menyita dua jengkaut di samping masing-masing satu lori balak dan kenderaan pacuan empat roda.

Katanya, pemeriksaan menemui lebih 30 tual balak pelbagai jenis seperti kelat, kedondong dan sesenduk.

“Kita kini berusaha mengesan seorang lagi ahli individu yang lolos. Dia dipercaya penebang pokok mahir dan berpengalaman,” katanya.