RAUB: Empat rumah terdiri daripada 23 ahli keluarga di Kampung Peruas dan Kampung Pamah Rawas terjejas apabila kediaman mereka dilanda banjir kilat, pada kira-kira 9 pagi ini.
Bagaimanapun, kejadian tidak membabitkan pemindahan ke pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan air mula surut pada tengah hari ini.
Penduduk Kampung Pamah Rawas, Nur Amin Nor Azahar, 31, berkata, hujan lebat sebelum subuh menyebabkan paras air anak Sungai Peruas dan Sungai Cherlang di Ulu Dong naik sehingga melimpah ke kawasan kediaman penduduk.
Penduduk warga emas di Pamah Rawas, Dzulkifli Kudin, 67, berkata, banjir berlaku selepas dia selesai Solat Subuh apabila air mula memasuki kediamannya.
“Saya dan empat ahli keluarga selamat. Cuma sedikit barang keperluan rumah ditenggalami air kerana tidak sempat dipindahkan ke tempat tinggi,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) akan membina laluan sementara di Kampung Pamah Rawas selepas jalan yang biasa digunakan penduduk rosak ditenggelami air sehingga tidak boleh dilalui kenderaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Dato’ Sri Shahiruddin Ab Moin, yang melawat kawasan itu berkata, JKR bertindak pantas membaik pulih dengan menambah pembetung untuk laluan air di kawasan itu.
“Saya berharap penduduk berwaspada dan menjaga ahli keluarga masing-masing khususnya mengawasi kanak-kanak supaya jangan bermain air memandangkan banjir kilat kerap berlaku,” katanya. – MUHAMMAD NAJMIE