Oleh Muhammad Najmie
fikrahpahang@gmail.com
JERANTUT: Pengkalan hadapan di enam kampung di Ulu Tembeling menerima bekalan keperluan menghadapi musim tengkujuh, semalam dan hari ini.
Antara desa terbabit adalah Kampung Pagi, Bukit Mat Daling, Kuala Sat, Bantal, Gusai dan kampung Orang Asli Sungai Kucing yang terletak di pesisiran Sungai Tembeling dan Sungai Sepia.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Dato’ Nazri Ngah berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Jerantut dan Pasaraya Darul Makmur menyelaras penghantaran barang untuk semua kampung terbabit.
Katanya, enam kampung itu adalah antara 16 pangkalan hadapan yang menempatkan barangan keperluan asas untuk digunakan sekiranya banjir.
Beliau berkata, semua kampung di mukim terbabit akan terputus hubungan apabila banjir dan bekalan makanan di pangkalan hadapan itu mampu digunakan sehingga kira-kira dua minggu.
“Selain itu, terdapat 96 pusat pemindahan sementara (PPS) termasuk enam di Ulu Tembeling manakala beberapa balai raya, sekolah, dewan dan balai penghulu dijadikan PPS di beberapa desa lain,” katanya.