Enam nelayan Vietnam ditahan dalam bot ikan tempatan

Enam nelayan Vietnam ditahan dalam bot ikan tempatan

Oleh Fath Ahnaf

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Seorang orang kurang upaya (OKU) antara enam nelayan warga Vietnam ditahan dalam bot nelayan tempatan di perairan Rompin, pada 1.30 petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud, berkata bot terbabit ditahan kira-kira 24.2 batu nautika dari timur muara Sungai Nenasi, Rompin.

“Ketika melakukan rondaan Op Makmur, Maritim Malaysia mengesan bot yang sedang menjalankan aktiviti perikanan dalam keadaan mencurigakan dan cuba melarikan diri sebaik dihampiri.

“Pemeriksaan mendapati bot nelayan tempatan itu dikendalikan enam kru termasuk tekong yang kesemuanya warga Vietnam berumur antara 26 sehingga 53 tahun dan seorang daripada mereka adalah OKU,” katanya.

Katanya, bot disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen dan mengemukakan dokumen pengenalan diri yang meragukan.

“Kesemua kru termasuk tekong diiring ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading bersama peralatan menangkap ikan dan hasil laut. 

“Mereka akan menjalani ujian saringan COVID-19 di Klinik Kesihatan Rompin sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan selanjutnya,” katanya.