Enam penyu agar ditemui mati

Enam penyu agar ditemui mati

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@gmail.com.my

KUANTAN: Jabatan Perikanan Pahang mencatat enam kes kematian penyu jenis agar (Chelonia Mydas) dalam tempoh 11 bulan tahun ini.

  Pengarah Perikanan negeri, 

Abdullah Jaafar berkata, sepanjang tahun lalu 13 kematian penyu spesies sama dicatatkan dan jumlahnya berkurangan tahun ini.

 Menurutnya, kebanyakan kematian reptilia bercengkerang itu disebabkan tersangkut pada pukat selain masalah usus akibat termakan plastik.

Pengarah Perikanan. Negeri Pahang Abdullah Jaafar

  Katanya, kematian penyu dewasa yang tertinggi dicatatkan pada Februari lalu iaitu empat ekor diikuti dua pada Ogos di mana terdapat kes cedera serius pada cengkerang menyebabkan ia mati.

  Menurutnya, kebanyakan bangkai penyu yang mati ditemui terdampar di pesisir pantai daerah ini, Pekan dan Rompin dan pegawai Jabatan Perikanan Pahang melakukan siasatan selepas menerima aduan penduduk serta pelancong.

  “Dalam tempoh 12 tahun (2007-2019) 80 kes kematian membabitkan 78 penyu jenis agar dan dua jenis lipas.

  “Kita memandang serius kes kematian penyu itu kerana kebanyakannya disebabkan kecuaian manusia,” katanya, di sini.

  Menurutnya, jabatan menggalakkan nelayan tempatan menggunakan alat penyisih penyu (Turtle Excluded Device) khususnya bagi bot pukat tunda selain menggunakan pukat atau jaring saiz mata dibenarkan sahaja bagi mengelakkan reptilia terbabit terperangkap dan cedera sebelum mati.

  Abdullah menambah, setiap tahun program kesedaran diadakan bagi memberi penerangan kepada nelayan supaya tidak sesuka hati membuang sampah terutama plastik ke laut dan sungai bagi mengelak penyu memakan bahan itu yang disangka ampai-ampai.

  “Terdapat juga kes kematian penyu disebabkan terkena kipas bot.

  “Diharapkan nelayan dan masyarakat memandang serius perkara ini bagi mengelakkan populasi reptilia ini berkurangan,” katanya.