Enam puluh lagi sekolah dibantu

Enam puluh lagi sekolah dibantu

TEMERLOH: Kerajaan Pahang meneruskan komitmen untuk memperkasakan pendidikan anak-anak Pahang apabila menyalurkan sebanyak RM133,590 untuk kegunaan 60 sekolah di negeri ini sepanjang tahun ini.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata untuk hari ini sahaja, Kerajaan Pahang mengagihkan sebanyak RM126,592 kepada 39 sekolah di daerah ini, Bentong, Raub, Bera dan Maran.

“Pagi ini saya menghadiri majlis ramah mesra dan penyampaian sumbangan kepada 10 sekolah yang membuat permohonan untuk mendapatakan peruntukan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Temerloh. 

“Antara sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan Mempaga untuk membaik pulih astaka dan untuk kegunaan murid (RM5,000); untuk naik taraf bilik kemahiran al-Quran dan kebajikan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tahap Jerantut (RM20,000) dan untuk baik pulih tempat menunggu bas dan aktiviti keceriaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka (RM10,000),” katanya kepada Fikrah Pahang di sini, hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri turut mengeluarkan peruntukan kepada 29 sekolah yang terjejas akibat banjir awal tahun ini.

“Ia merangkumi 29 sekolah di daerah ini, Bentong, Raub, Bera dan Maran yang mana setiap sekolah, masing-masing menerima RM1,000.

“Sebelum ini kita (kerajaan negeri) sudah mengagihkan sumbangan kepada sembilan sekolah di Kuantan, Pekan dan Rompin,” katanya. – KAMAL ARIFFIN ISMAIL