KUANTAN: Enam subjek Universiti Malaysia Pahang (UMP) disenaraikan antara terbaik dunia berdasarkan penarafan QS World University Rankings (QSWUR) by Subject 2022.
Kejuruteraan Kimia berada pada kelompok 150-200 terbaik dunia dan antara lima terbaik di Malaysia manakala Kejuruteraan dan Teknologi di tangga ke-357 dunia.
Selain itu, Kejuruteraan Mekanikal, Aeronautik dan Pembuatan dalam kelompok 301-350 terbaik dunia, Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (401-450) dan Kimia (451-500) serta ke-10 terbaik di Malaysia.
Penarafan turut menyaksikan Sains Komputer dan Sistem Maklumat berada di kedudukan 601-650 terbaik dunia dan ke-15 terbaik di Malaysia.
Naib Canselor UMP, Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin, berkata sebagai universiti teknikal yang kini melangkah usia 20 tahun, UMP menawarkan pelbagai program teknikal berteraskan kejuruteraan dan teknologi.
Oleh itu, katanya, UMP akan memperkukuhkan peranannya dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) bagi mengangkat agenda pemerkasaan Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) di semua peringkat.
“UMP sentiasa menambah nilai program akademik melalui proses penanda aras secara berterusan menggunakan model (Fachhochschule) bertaraf dunia,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN