KUANTAN: Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) melupuskan kira-kira enam tan abu al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran di perairan Tanjung Gelang, di sini kelmarin.
Aktiviti pelupusan kali pertama itu mendapat kerjasama daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tanjung Gelang dan Qaseh Outreach Resources (Iman Care).
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan JAIP, Noridzuan Abdul Manan, berkata TLDM menggunakan kapal KD Seri Indera Sakti.
Menurutnya, turut sama menyertai program sehari berkenaan Timbalan Pengarah JAIP, Dato’ Zakaria Mohamed dan disertai 30 kakitangan JAIP dan sukarelawaan.
“Al-Quran dan bahan bercetak ayat al-Quran yang rosak akibat banjir menjalani proses pelupusan dengan cara membakar di Pusat Pemuliaan Al-Quran milik JAIP di Pekan dan swasta di Temin Kraf, Jerantut.
“Selepas dibakar abu dijadikan bongkah sebelum dilupuskan ke laut,” katanya.
Beliau berkata, pelupusan abu di laut dijangka lagi awal tahun depan. – MOHD IMRAN IZZAD