Oleh Muhammad Najmie
fikrahpahang@gmail.com
JERANTUT: Suasana sekawan gajah liar berkeliaran, berulang alik di antara hutan, pinggir kampung dan ladang sawit adalah satu kebiasaan buat penduduk pedalaman di Ulu Tembeling, Jerantut.
Tapi, kemunculan sekumpulan 30 gajah di sepanjang jalan utama Ulu Tembeling dari Kuala Tahan ke Kampung Bukit Mat Daling, sejak kebelakangan ini seolah-olah berada di kawasan safari.
Keadaan itu membuatkan penduduk, Zulkifli Jamaluddin, 53, mengambil kesempatan untuk merakamkan peristiwa terbabit ketika terserempak dengan kumpulan gajah itu di tepi jalan utama ke Ulu Tembeling, dekat ladang getah milik Yayasan Pahang di kampung Kuala Sat, pada kira-kira 6 petang semalam.
Katanya, walaupun gajah itu tidak mengganggu penduduk, mereka tetap berwaspada kerana bimbang jika haiwan berkenaan tiba-tiba agresif.
“Kumpulan gajah ini menarik perhatian kami kerana langsung tidak mempedulikan manusia dan bunyi kenderaan. Kami begitu teruja sehinggakan berasa sedang berada di Afrika,”
katanya.
Rakannya, Faizul Ishak, 35, melihat sekumpulan gajah berkeliaran mencari makanan adalah pengalaman pertama baginya.
Katanya, dia melihat gajah liar dari jauh untuk memastikan keselamatan walaupun diberitahu bahawa haiwan itu tidak pernah mengganggu penduduk.