Fadzli cuba ‘saingi’ kehebatan Tok Shah

Fadzli cuba ‘saingi’ kehebatan Tok Shah

RAUB: Meneruskan legasi kecemerlangan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Dato’ Sri Shahiruddin Ab Moin adalah cabaran besar buat calon baharu, Fadzli Mohamad Kamal. 

Tapi, berbekalkan pengalaman 15 tahun sebagai Setiausaha Akhbar kepada Dato’ Seri  Hishamuddin Hussein, memberikan Fadzli keyakinan untuk menggalas tugas yang menunggu. 

Fadzli yang pernah dilantik penyelaras kawasan Pahang Barat, berkata amanah yang diberikan ketika bertugas sebagai Setiausaha Akhbar YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, adalah aset berharga.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Raub, berkata dirinya mempunyai ramai saudara mara dalam kawasan DUN Dong, apatah lagi arwah ayah dan datuknya juga orang yang disegani di tempat itu.

“Hasrat saya untuk memajukan kawasan ini memang dah lama, terutama tempat pelancongan seperti di Lata Jarum dan Pulau Cekas,” katanya.

Beliau berkata, dalam kempennya sepanjang PRU15, dirinya dapat berasakan penduduk di Dong dapat menerimanya sebagai bakal ADUN. 

“Tapi, tak dapat saya nafikan nama Dato’ Sri Shahiruddin disebut-sebut. Rekod  khidmat beliau cemerlang. Saya menganggapnya sebagai cabaran untuk saya,” katanya.