KUANTAN: Jentera penerangan UMNO diminta mengkaji terlebih dahulu dan bukan main ‘sembrono’ sahaja ‘berceramah’ tanpa memahami isu dan masalah yang dihadapi penduduk setempat.
Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata jentera perlu bekerja secara proaktif dan bukan bertugas menyampaikan maklumat sahaja
“Apa isu setempat yang berbangkit, kita perlu fahami masalah dan kehendak mereka. Kita kaji dahulu baru kita bercakap supaya bertepatan dengan kehendak dan keperluan mereka.
“Selepas kita bercakap baru mereka ada selera nak mengundi. Mereka jadi minat nak mengundi Barisan Nasional (BN),” katanya berucap pada Program Gerak Kerja Penerangan dan Media DUN Sungai Lembing di Dewan Semai Bakti, FELDA Bukit Kuantan, di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Dato’ Indera Ahmad Tajudin Sulaiman.
“Bila kita dah tahu dan tidak boleh selesaikan, kita berpakat dengan pihak berkaitan, agihan bantuan akan disegerakan. Ini cara kita buat kerja. Memenangi hati pengundi.
“Kita hadir sebagai penerangan bukan sebagai penceramah. Selesaikan isu dengan penuh bijaksana, dengan penuh pendekatan yang bila kita datang dia rasa seronok, dia rasa sayang pada kita, dia rasa nak mengundi,” katanya.
Syed Ibrahim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau turut mengingatkan jentera penerangan UMNO supaya tidak membawa sentimen negatif.
“Jangan kempen memburukkan calon. Orang mengundi tengok calon. Kita berkempen bukan menampakkan tokoh dan individu semata-mata tetapi nampakkan imej perjuangan parti BN,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan 2, UMNO Bahagian Paya Besar, Norjubaidi Chamkari berkata, program diadakan bagi memberi pendedahan dan pemantapan di peringkat akar umbi terutama dalam menangkis isu berbaur fitnah. – NUR HANNAH KHADIJAH