BEKAS badang negara, Mohd Faizal Baharom kini memikul tugas sebagai jurulatih angkat berat kelab berpengkalan di Dublin, Ireland.
Menurutnya, selepas seminggu memikul tugas berkenaan keserasian mula dapat dilihat walaupun kebimbangan masih ada.
“Saya menerima tawaran kelab berkenaan selepas memikirkan terdapat beberapa atlet terbaik negara itu kini sedang membuat persiapan ke kejohanan peringkat kebangsaan negara itu.
“Selain itu, terdapat juga atlet yang menjadi sandaran untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.
“Saya dapat melihat potensi sukan angkat berat di Ireland cerah dan tidak mustahil akan menyerlah di pentas antarabangsa sedikit masa lagi,” katanya.
Menurut pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2006 Melbourne itu, pengorbanannya untuk menjadi jurulatih di peringkat antarabangsa begitu mencabar terutama apabila terpaksa membuat keputusan menamatkan perkhidmatan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas tujuh tahun bertugas di Hospital Muadzam Shah, Rompin.
Mohd Faizal yang mencipta kejayaan dibawah program pembangunan sukan angkat berat berpusat di Rompin berkata, peminat sukan angkat berat tanah air diharap dapat mendoakan kejayaannya di bumi asing membawa bersama imej negara dan Pahang. – MOHD IMRAN IZZAD