PEKAN: Pemandangan Sungai Pahang menjadi latar belakang pelamin untuk sepasang pengantin baru yang memilih bersanding di rumah rakit di sungai terbabit di Kampung Ganchong Tengah, di sini.
Mohd Faizuan Abd Ghani, 26, dan pasangannya, Nora Amira Mohd Sofi, 23, bersanding di rumah rakit berkenaan kerana tertarik dengan suasananya di sampung mahu mencipta kelainan.
Mohd Faizuan yang juga penyelia di sebuah syarikat di Kuantan berkata, idea asal untuk bersanding di rumah rakit itu datang daripada bapa mentuanya, Mohd Sofi Abd Rahim.
“Kami berasa ia sesuatu yang unik dan menarik. Jadi, kami bersetuju untuk melakukannya dan dengan bantuan semua pihak, akhirnya impian itu menjadi kenyataan.
“Saya akui agak gementar apabila diarak dengan menaiki bot gentian kaca menyusuri Sungai Pahang. Namun, dalam masa sama berasa teruja dan seronok,” katanya ketika ditemui pada majlis terbabit.
Sementara itu, pasangannya, Nora berkata, dia bersyukur apabila semuanya dipermudahkan dan berjalan lancar.
“Saya juga bersyukur apabila majlis berlangsung meriah dengan kehadiran sanak saudara dan rakan-rakan walaupun terpaksa mengikuti SOP (prosedur operasi standard) yang ketat,” katanya. – FATH AHNAF