KUANTAN. 12 DISEMBER 2023 : Fakulti Perubatan Universiti Islam Antara Bangsa (UIAM) Kampus Kuantan melakar sejarah dengan membangunkan Program Realiti Maya (VR) yang terarah kepada perisian latihan realiti maya DRMARTINVR yang pertama di Malaysia.
Program tajaan G Plus Global Sdn. Bhd ini bertujuan untuk merevolusikan pendidikan dan latihan secara realiti maya khususnya prosedur perubatan sehingga simulasi merawat pesakit klinikal secara teknologi kecerdasan buatan. Platform inovasi ini direka bentuk untuk mempertingkatkan metodologi pembelajaran dengan menyediakan pengalaman yang mendalam, interaktif dan realistik merentas pelbagai disiplin.
Pengarah UIAM kampus Kuantan, Prof Datuk Dr Ahmad Hafiz Zulkifli, berkata “pelancaran program Latihan Realiti Maya (VR) tajaan G Plus Global Sdn. Bhd ini, pelajar perubatan akan lebih merasakan keseronokan kerana diterapkan dengan teknologi yang sukar tetapi telah dipermudahkan.
Prof Datuk Dr Ahmad Hafiz (tengah) mencuba simulasi merawat pesakit klinikal secara maya yang dikendalikan Dr Nurliza di makmal Realiti Maya Fakulti Perubatan UIAM Kuantan
“Peringkat awal fokus utama ditumpukan kepada pelajar perubatan pra klinikal secara maya sebelum menghadapi pesakit yang sebenar”. Dr. Hafiz berkata demikian selepas melancarkan makmal Realiti Maya di Fakulti Perubatan UIAM Kuantan, disini harinya. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif G Plus Global Sdn. Bhd, Dr. Nurliza Md Azzam.
Dr. Nurliza ketika ditemui berkata, Perkongsian G Plus Global Sdn. Bhd bersama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) merupakan komitmen syarikat dalam memajukan institusi pendidikan melalui penyelesaian inovatif, dan yakin bahawa program DRMARTINVR akan memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan pendidikan secara berteknologi tinggi”.
“Pelancaran Makmal Realiti Maya (VR) akan mempamirkan keupayaan teknologi DRMARTINVR melalui demonstrasi langsung melalui simulasi interaktif, dan memberi peluang merasai sendiri potensi transformasi realiti maya dalam pendidikan dan latihan”.
“Perisian Latihan Realiti Maya yang pertama di Malaysia dalam pendidikan berteknologi , menandakan inovasi yang diilhamkan DRMARTINVR mampu menyepadukan teknologi dalam landskap akademik berasaskan Teknologi Kecerdasan Buatan (AI). G Plus Global Sdn. Bhd akan meneruskan kerjasama dan mengharapkan penggunaan meluas metodologi pembelajaran ini dapat diperluaskan ke seluruh negara”, katanya.
Tamat . Kabhi Ismail.