KUANTAN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang menerima 500 kit makanan disumbangkan oleh Food Bank Malaysia untuk mangsa banjir daerah ini dan Pekan.
Ketua Pengarah FAMA, Dato’ Zainal Abidin Yang Razalli berkata, kit makanan itu turut diberi bersama barangan keperluan asas Mafi Prihatin.
Menurutnya, Mafi Prihatin turut menyumbang lebih satu tan sayur dan bahan masakan bagi penyediaan makanan untuk diagihkan ke empat pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini dan Pekan.
Katanya, sumbangan yang diberikan diharap dapat meringankan beban mangsa banjir termasuk pihak yang menguruskan empat PPS terbabit.
“Usaha yang dilakukan pihak terbabit diharap menjadi contoh kepada pihak lain untuk menghulurkan bantuan kepada mereka memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Serahan Sumbangan Bantuan Banjir oleh Mafi Prihatin dan Food Bank Malaysia kepada penduduk Kampung Semangat, di sini hari ini. Turut sama Pengarah FAMA Pahang, Saiful Sadri. – MOHD IMRAN IZZAD