Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Pic Mohd Imran Izzad
KUANTAN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang bertindak membeli lebih 100 tan tembikai keluaran empat pekebun di Kampung Ubai, di sini dan Muadzam Shah, Rompin.

Pengarahnya, Noh Nik Wan berkata, selain tembikai merah dan kuning pihaknya turut membeli tembikai ‘Apollo’ dan tembikai susu atau ‘honey dew’ yang dikeluarkan tiga pekebun di Muadzam Shah.
Menurutnya, aktiviti belian menggunakan sistem harga semasa ditetapkan FAMA dilakukan secara berperingkat bermula awal bulan lalu hingga kini dan akan diteruskan selagi ada permintaan daripada pekebun.
“Tujuan utama FAMA membeli hasil ladang pekebun untuk memastikan petani tidak mengalami kerugian apabila produk tanaman mereka keluar dengan jumlah yang banyak secara serentak sehingga berlaku masalah pasaran termasuk kejatuhan harga.
“Kebanyakan pekebun terdiri daripada peserta ladang kontrak FAMA yang mengadakan perjanjian belian hasil kebun mereka apabila keadaan memerlukan,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya tidak memaksa peserta ladang kontrak menjual semua hasil ladang mereka kepada FAMA, malah pekebun boleh membuat pilihan mengikut tawaran harga yang lebih tinggi dan memuaskan.
Noh berkata, setiap tahun FAMA membeli tembikai keluaran pekebun di negeri ini dan usaha berkenaan dilakukan secara berterusan dalam memastikan tidak berlaku lambakan hasil sehingga merugikan golongan pekebun.
Mengenai dakwaan seorang pekebun Kampung Ubai yang tidak dapat memasarkan tembikainya, beliau berkata, peringkat awal pekebun berkenaan tidak berminat menjual hasil kebunnya kepada FAMA disebabkan faktor harga, namun kini isu berkenaan berjaya diselesaikan.
“Kita membuat dua kali belian sebanyak tiga tan menggunakan sistem harga semasa yang dipersetujui kedua-dua belah pihak. FAMA akan terus membeli hasil petani Kampung Ubai sekiranya diperlukan,” katanya.
Sementara itu pekebun, Ain Izzuddin Mohd Ghazali berkata, dia berpuas hati apabila dapat menjual tembikai keluaranya kepada FAMA Pahang dengan harga semasa.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada FAMA yang tampil membantu membeli sebahagian tembikai jenis boci yang dikeluarkan, tanpa sokongan kerugian lebih besar terpaksa ditanggung berikutan pasaran yang terhad selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara,” katanya yang berpengalaman lebih tiga tahun mengusahakan tanaman tembikai di Kampung Ubai.