Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@gmail.com
Gambar oleh Mohd Imran Izzad
KUANTAN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Pahang merekodkan jualan sebanyak RM15.7 juta di 24 pasar tani di negeri ini dalam tempuh 10 bulan pertama tahun ini.
Pengarahnya , Saiful Sadri, berkata lima pasar tani kekal yang beroperasi setiap hari membabitkan penyertaan 122 peniaga terletak di Pekan, Felda Chini, Bandar Jengka, Jerantut dan Bera menghasilkan jualan hampir RM5 juta.
Katanya, sebanyak 19 pasar tani beroperasi sekali seminggu pula menghasilkan jualan sebanyak RM10.8 juta, namun jumlah jualan tahun ini berkurangan berbanding sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Selepas negeri ini memasuki Fasa 4 PPN (Pelan Pemulihan Negara) dan kebenaran merentas negeri, sambutan diterima meningkat dua hingga tiga kali ganda apabila pengguna memilih untuk ke pasar tani bagi mendapatkan produk pertanian, ternakan, perikanan dan daging.
“Fama Pahang mengadakan pelbagai program dalam usaha menarik minat pengguna tempatan dan luar supaya datang semula ke pasar tani bagi mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian,” katanya pada program Sambutan Ulang Tahun Ke-56 Fama di Pasar Tani Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuantan, hari ini.
Program berkenaan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Dato’ Abd Rahim Muda.
Dalam pada itu, Saiful memberi jaminan harga barangan keperluan di pasar tani, dijual pada harga berpatutan.
Menyentuh program berkenaan, beliau berkata, pelbagai aktiviti diadakan antaranya jualan kombo, promosi karavan tani, promosi produk industri kecil dan sederhana (IKS) Melaka serta jualan pelbagai jenis makanan tempatan.