FAMA pasarkan tiga tan metrik durian setiap hari

FAMA pasarkan tiga tan metrik durian setiap hari

Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Gambar Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: Sebanyak tiga tan metrik durian jenis kampung dan masing-masing satu tan manggis serta rambutan dijual setiap hari menerusi program jualan promosi buah-buahan bermusim@Pasar Segar Terkawal (PST).

Program jualan bermula kelmarin itu diadakan di perkarangan pejabat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang di Jalan Gambang, di sini.

Pengarah FAMA Pahang, Noh Nik Wan berkata, buah yang dijual datang dari kebun terpilih di beberapa daerah serta dijual pada harga berpatutan.

Katanya, durian dijual pada harga RM4 sekilogram, rambutan (RM3 sekilogram) dan manggis (RM5 sekilogram) dan harga jualan berkemungkinan lebih murah apabila pengeluaran semakin bertambah.

“Program jualan promosi buah-buahan bermusim@ PST diadakan bertujuan membantu memasarkan hasil pertanian pada musim kali ini yang dikatakan pengeluaranya bertambah berbanding sebelum ini.

“Kita bertanggungjawab membantu memasarkan durian, rambutan dan manggis bagi mengelakkan kejadian lambakan serta kerugian pada pekebun kerana buah berkenaan tidak boleh disimpan lama.

“Beberapa daerah terutama Raub, Jerantut, Bentong dan Lipis semakin banyak mengeluarkan buah tiga serangkai ini. Pengeluaran secara serentak boleh mengundang lambakan sekiranya FAMA tidak membantu,” katanya, di sini hari ini.

Menurutnya, aktiviti jualan itu diadakan setiap hari bermula 8.30 pagi hingga 12 tengah hari.

“Selepas dua hari diadakan, sambutan diterima begitu memberangsangkan apabila dalam masa tidak sampai tiga jam, tiga tan metrik durian habis dijual,” katanya.

Tambahnya, turut dijual, nangka J33, pisang tanduk, berangan dan nangka yang dijual dengan harga berpatutan

“Kita berusaha menambah lebih banyak lagi komoditi lain antaranya buah pulasan dari Johor dan pisang abu dari Sabah.

“Musim buah kali ini diharap memberi pendapatan tambahan pada pekebun di negeri ini, mereka boleh berhubung dengan FAMA daerah sekiranya hasil pertanian mereka tidak dapat dipasarkan,” katanya.