ROMPIN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) sedang mempertimbangkan permintaan 46 pekebun roselle daerah ini yang mahu harga hasil pertanian berkenaan dinaikan.
Pengarah Fama Pahang, Saiful Sadri, berkata pihaknya bagaimanapun akan membuat penilaian dari pelbagai sudut sebelum sebarang keputusan dibuat kerana ia membabitkan kenaikan kos belian bagi pihaknya.
Katanya, aktiviti belian buah roselle di daerah ini dilakukan sepenuhnya oleh Pejabat Fama Daerah Rompin dengan harga ditawarkan mengikut gred buah untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.
Menurutnya, kualiti roselle di daerah ini sememangnya terbaik sehinggakan buah roselle keluaran pekebun Kampung Desa Murni dan Kampung Tebu Hitam, di sini turut di eksport ke Australia.
“Kita menawarkan dua paras harga belian buah roselle iaitu RM3.20 sekilogram bagi buah gred B dan RM4.70 sekilogram bagi buah gred A. Aktiviti pasaran dilakukan setiap minggu dengan bantuan kakitangan
Pejabat Fama Daerah Rompin.
“Bagi buah gred B, ia dibekalkan terus kepada pusat memproses makanan Fama Rengit, Johor dan gred A di eksport ke Australia,” katanya, di sini hari ini.
Beliau berkata, seramai 46 pekebun roselle di dua kawasan di daerah ini adalah peserta ladang kontrak Fama dan mereka mula mengusahakan tanaman berkenaan sejak 2009.
“Untuk kemudahan pekebun, Fama turut menyediakan pusat pengumpulan selain alat penimbang elektronik, kereta sorong dan bakul menyimpan buah roselle.
“Tahun ini sebanyak 10.5 tan buah roselle dipasarkan dengan nilai keseluruhan jualan produk pertanian bertaraf antarabangsa itu sebanyak RM42,000 dan jumlah berkenaan jauh berkurangan berbanding beberapa tahun sebelum ini berikutan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) yang menyebabkan pekebun mengurangkan keluasan tanaman,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD