PEKAN: Sekurang-kurangnya 200 penduduk setempat memeriahkan program Jelajah Ramadan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang 2022 di Masjid Kampung Padang Rumbia, di sini, semalam.
Program berkenaan dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff yang turut menyampaikan bantuan kit makanan Kerajaan Pahang kepada 100 golongan asnaf.
Pengarah FAMA Pahang, Saiful Sadri, berkata program itu bertujuan mengeratkan lagi hubungan antara FAMA dengan penduduk luar bandar yang turut menjadi pengeluar pelbagai produk pertanian.
Menurutnya, program dimulakan dengan gotong-royong bermula 10 pagi untuk menyediakan hidangan berbuka puasa antaranya masak patin poyak, kerabu paku, pucuk ubi gulai tempoyak, daging kicap dan ikan kerai goreng selain kuih nekbat serta puding jagung.
“Program kali ini mendapat kerjasama Pejabat DUN Bebar dan Bank Rakyat. Program Jelajah Ramadan FAMA Pahang seterusnya ialah di Masjid Felda Tementi, Bera yang turut membabitkan aktiviti majlis berbuka puasa dan bantuan kepada golongan asnaf termasuk solat terawih,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD