KUANTAN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Pahang menyumbang satu tan pelbagai jenis sayuran untuk hidangan 1,500 mangsa banjir dan petugas barisan hadapan di daerah ini.
Pengarahnya, Saiful Sadri, berkata program di bawah Mafi (Kementerian Pertanian dan Industri Makanan) Prihatin Banjir Pahang 2021 itu diadakan secara gotong-royong bersama 30 pelajar Kolej Yayasan Pahang (KYP) Advanced Skills dan 10 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Kem Batu 10, di sini.
Menurutnya, antara sayuran disediakan pihaknya adalah kobis, kentang, bawang kecil, bawang besar, tomato, lobak merah dan halia yang bernilai lebih RM3,000.
“Program ini kali pertama diadakan sebagai bukti keprihatinan Fama Pahang terhadap mangsa banjir di daerah ini dan program yang disusun Mafi ini bertujuan meringankan beban mangsa banjir yang masih berada di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini.
“Selepas proses menyediakan bahan dan memasak kita akan membungkus hidangan kemudian diagihkan ke beberapa PPS,” katanya selepas majlis penyerahan sayuran sumbangan Fama Pahang yang disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah Fama (Operasi), Rashid Bahri di KYP) Advanced Skills Kubang Buaya, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Saiful berkata, di bawah program Mafi prihatin Fama Pahang tahun ini, peruntukan sebanyak RM1800 disediakan kepada 18,000 ketua isi rumah (KIR) di negeri ini. – MOHD IMRAN IZZAD.