KUANTAN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Pahang akan mengadakan program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) berkonsepkan Keluarga Malaysia, pada Disember ini.
Pelbagai hasil pertanian, ikan, buah-buahan, ayam, daging dan produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) tempatan akan dijual oleh lebih 20 peniaga dengan tawaran harga berpatutan.
Pengarah Fama Pahang, Saiful Sadri berkata, program JTDL diadakan bertujuan memberi peluang kepada pengguna mendapatkan barangan keperluan pada harga patut, segar dan bermutu.
“Kita akan mengadakan program JTDL di Indera Mahkota. Sebelum ini, Fama Pahang pernah buat program JTDL di dua pasar raya dan ia mendapat sambutan baik,” katanya pada Majlis Apresiasi Media Fama Negeri Pahang 2021, di sini, semalam.
Hadir sama Presiden Kelab Media Pahang (KMP), Dato’ Nik Naizi Husin.
Saiful berkata, pihaknya akan mengadakan program JTDL sekurang-kurangnya dua dan empat kali sebulan bergantung kepada kesesuaian serta sambutan pengguna. – MOHD IMRAN IZZAD.