Fandi Ahmad sah kembali ke Pahang

Fandi Ahmad sah kembali ke Pahang

KELAB Bola Sepak Sri Pahang (SPFC) mengumumkan Dollah Salleh dilantik sebagai ketua jurulatih interim pasukan itu.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi Sri Pahang, Dollah yang juga bekas pemain kebangsaan akan melatih kelab itu sehingga akhir musim ini.

“Dollah mengambil alih tugasan daripada Christophe Gamel. Kelab juga mengucapkan terima kasih dan selamat maju jaya kepada Gamel,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Sri Pahang turut berbesar hati mengumumkan Fandi Ahmad sebagai penasihat teknikal kelab.

Fandi bukanlah nama asing dalam kalangan penyokong Sri Pahang kerana beliau pernah menyarung jersi Tok Gajah selama dua musim dan merupakan anggota skuad kejuaraan berganda Liga Semi-Pro dan Piala Malaysia 1992.

“Semoga kepakaran dan pengalaman Fandi Ahmad akan memanfaatkan pasukan Sri Pahang,” katanya. 

Pada 15 Julai lalu, Sri Pahang mengesahkan khidmat Gamel selaku ketua jurulatih tidak diteruskan susulan prestasi hambar pasukan. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN