FANTASI DAN REALITI

Kuantan 10 Mei 2023 (Fikrah Pahang) – Hari kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang dihangatkan dengan beberapa wakil rakyat blok pembangkang mempersoalkan berkaitan peruntukan kepada mereka dalam perbahasan usul menjunjung titah diraja Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang,

Sejajar dengan titah KDYMM Tuanku, Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan sebanyak RM30 juta yang memberikan manfaat kepada lebih 297,013 penerima di bawah empat kluster utama yang akan diagihkan kepada warga negeri Pahang merangkumi pelajar dan anak muda, kumpulan B40, umum dan apresiasi secara bersasar mengikut dewan undangan negeri.

Buktinya pada 28 Mac 2023 yang lalu, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail telah melancarkan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) kepada murid-murid Tahun 1 di seluruh Pahang secara one-off RM100 melibatkan 25,146 orang penerima dengan jumlah peruntukan keseluruhan RM2.514 juta.

Ini membuktikan bahawa kerajaan Negeri Pahang tidak meminggirkan mana-mana pihak dalam mengagih peruntukan asalkan ianya sampai secara terus kepada rakyat tanpa adanya birokrasi.

Persoalan yang dikemukakan ini tiada asas yang kukuh, dimana Kerajaan Negeri yang ditadbir oleh pembangkang seperti Kelantan dan Terengganu juga tidak memberikan peruntukan kepada ahli dewan negeri pembangkang selepas Pilihan raya Umum (PRU) ke 15.

Bagaimana mereka boleh mendakwa begitu walhal pada Ramadan yang baru berlalu, Kerajaan Negeri Pahang menyalurkan peruntukan sebanyak RM5,000 kepada setiap ahli dewan negeri pembangkang bagi dilaksanakan aktiviti dikawasannya.

Cukup-cukuplah bermain dengan agenda politik yang tidak memberikan keuntungan kepada rakyat. Saya memetik titah KDYMM Tuanku ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Ke 2 Dewan Negeri Pahang Ke 15, tuanku bertitah ‘rakyat mahu politik yang stabil dan matang dan pembangkang berilah idea-idea membina yang boleh membantu kerajaan’.

Oleh: Kabhi Ismail