Fasa pertama pengurusan banjir di LPT1 bermula 1 Oktober

Fasa pertama pengurusan banjir di LPT1 bermula 1 Oktober

KUANTAN: ANIH Berhad akan memulakan kerja fasa satu projek pengurusan banjir di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), bermula 1 Oktober depan. 

Pengurus Besar Kanan ANIH, Radzimah Mohd Radzi, berkata syarikat konsesi itu mengambil beberapa langkah penting untuk memastikan kelancaran projek, termasuk menjalankan kajian banjir secara terperinci dan sepanjang LPT1.

Katanya, ia bagi mengenal pasti komponen tebatan banjir yang akan dilaksanakan untuk mengurangkan risiko kejadian banjir daripada berulang.

“Keseluruhan projek pengurusan banjir ini memerlukan kira-kira dua tahun,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. 

Beliau berkata, projek yang akan membabitkan 11 kawasan kritikal sepanjang LPT1 itu adalah sebahagian komitmen berterusan syarikat bagi mempertingkatkan tahap keselesaan dan keselamatan pengguna LPT1 terutama pada musim tengkujuh.

Katanya, fasa pertama membabitkan jaringan di Kilometer 124 dan dijangka memerlukan kira-kira 12 bulan.

“Sehubungan itu, ANIH akan menutup laluan kecemasan arah ke Kuala Lumpur di lokasi itu pada Oktober sehingga April 2023.

“Laluan kecemasan Kilometer 124 arah ke Kuantan pula akan ditutup bermula Mei sehingga November 2023. ANIH juga akan mengaktifkan laluan kontra di kawasan terbabit,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN