FELCRA laksana projek ternakan ayam pedaging di Rompin

FELCRA laksana projek ternakan ayam pedaging di Rompin

LIPIS: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (PKLB) melalui FELCRA Bhd (FELCRA) akan membuka projek ternakan ayam pedaging sistem tertutup di Tanjung Seratus, Kuala Rompin, Rompin dalam usaha  menambah  bekalan industri pemakanan khususnya ayam di pasaran. 

Projek bernilai RM59.64 juta itu bagi memperkembangkan dan mengukuhkan industri makanan utama negara terutama dalam bidang penternakan dan pertanian.  

Timbalan Menteri 1 PKLB, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad, berkata projek ternakan ayam pedaging sistem tertutup itu sedang dalam proses pembersihan tapak dan penyediaan jalan masuk.

“Kerja-kerja  pembinaan diijangka bermula bulan ini dan dijangka beroperasi sepenuhnya Januari tahun depan,” katanya selepas Majlis Sambutan Aidilfitri FELCRA Wilayah Pahang di Dewan Jubli Perak, Kuala Lipis di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA, Datuk Mat Roni Zakaria. 

Mengulas lanjut, Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis berkata, projek itu juga akan menyediakan 500 peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.  

“Apabila beroperasi kelak, projek ini akan membekalkan sebanyak 600,000 ekor ayam setiap pusingan atau setiap 35 hari. 

“Dengan adanya projek ini, ia dapat menampung permintaan ayam negara, sekali gus mengatasi masalah kekurangan ayam di pasaran terutama ketika musim perayaan,” – MUHAMMAD NAJMIE