FGV sumbang RM250,000 untuk Tabung Bencana Banjir Pahang

FGV sumbang RM250,000 untuk Tabung Bencana Banjir Pahang

 

TEMERLOH: FGV Holdings Bhd (FGV) hari ini menghulurkan sumbangan sebanyak RM250,000 kepada Tabung Bencana Banjir Pahang bagi membantu meringankan beban mangsa banjir di negeri ini. 

Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata bantuan disalurkan itu juga sebahagian usaha membantu kerajaan negeri melaksanakan kerja-kerja pembersihan pascabanjir.

“Saya sungguh terharu melihat keadaan mereka (mangsa banjir) yang betul-betul terkesan… ada yang rumah tenggelam dan kehilangan semua harta benda. 

“Maka diharapkan sumbangan ini dapat membantu mangsa banjir di Pahang membina semula kehidupan selepas bencana ini,” katanya kepada media selepas menyaksikan serahan cek RM250,000 daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Mohd Nazrul Izam Mansur kepada YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail di di Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh di sini, hari ini

Hadir sama,Pengerusi Jawatankuasa Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Pahang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Tawar, Dato’ Nazri Ngah serta Pegawai Daerah Temerloh, Dato’ Ali Syahbana Sabaruddin.

Mengulas lanjut, Idris berkata, bantuan itu juga sebagai tanda terima kasih atas sokongan padu kerajaan negeri kepada Felda dan FGV sehingga membolehkan operasi tanah rancangan dan ladang berjalan lancar di Pahang.

“Pahang antara negeri terjejas teruk akibat banjir dan sedikit sumbangan ini diharapkan dapat membantu kerajaan negeri menguruskan mangsa banjir dan perkara berkaitan,” katanya.

Sementara itu, Idris berkata, seramai 471 warga Felda yang terkesan akibat banjir akan diberikan bantuan sewajarnya iaitu wang tunai RM100 atau barangan keperluan.

“Warga Felda yang terkesan ini adalah dari empat Wilayah iaitu Raja Alias, Jengka, Gua Musang dan Mempaga. Turut terkesan ialah 22 kakitangan Felda,” katanya.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri berterima kasih atas keprihatinan FGV yang tampil menghulurkan sumbangan bagi membantu mangsa banjir di negeri ini.

“Peruntukan ini akan digunakan sebaiknya bagi menguruskan keperluan mangsa banjir sekali gus meringankan beban yang mereka tanggung selepas mengalami kemusnahan harta benda,” katanya. – MUHAMMAD NAJMIE