Oleh Fath Ahnaf
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Hasrat gadis berusia 23 tahun untuk memiliki iPhone 8 tidak kesampaian apabila dia ditipu ketika proses urus niaga telefon pintar terbabit sehingga kerugian RM2,200.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa dari Sungai Isap Perdana dan bekerja sebagai kerani syarikat pinjaman wang berlesen.
“Ketika mangsa berada di rumahnya, dia tertarik dengan iklan jualan iPhone 8 berharga RM400 di Facebook.
“Mangsa kemudiannya berurusan dengan lelaki bernama Nabil melalui telefon dan bersetuju untuk membeli telefon berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Oleh itu, katanya, mangsa melakukan pembayaran melalui pemindahan wang ke akaun yang diberikan suspek, pada 12.47 tengah hari, 14 Ogos lalu.
“Bagaimanapun, selepas itu suspek meminta mangsa membayar RM1,800 untuk mendapatkan kad jaminan. Mangsa membuat bayaran berkenaan melalui pemindahan wang ke satu lagi akaun lain yang diberikan suspek.
“Walaupun semua bayaran sudah dibuat, mangsa belum menerima telefon pintar berkenaan menyebabkan dia berasa tertipu sebelum tampil membuat laporan polis berhubung kejadian itu,” katanya.