Gagal imbas MySejahtera, dua lelaki dikompaun

Gagal imbas MySejahtera, dua lelaki dikompaun

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Kegagalan dua lelaki mengimbas kod QR Mysejahtera membawa padah apabila dikompaun dalam `Ops Patuh’ COVID-19 di Terminal Sentral Kuantan (TSK), di sini hari ini.

Lelaki terbabit, masing-masing berumur 27 dan 30 tahun itu dikompaun dalam operasi oleh Bahagian Penguatkuasa dan Unit Keselamatan JPJ Pahang dan Unit Inspektorat Dan Perundangan,  Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuantan.

KUANTAN. Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang, Kamarul Iskandar Nordin (kanan) melihat dokumen seorang penumpang bas ekspres dalam Ops Patuh COVID-19 di Kuantan.

Pengarah JPJ Pahang, Kamarul Iskandar Nordin berkata, dua individu itu dikompaun oleh PKD Kuantan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) (Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB).

Katanya, operasi yang dilaksanakan itu selaras dengan penyerahan kuasa kompaun mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kepada Pegawai JPJ.

“Kesalahan yang dilakukan dua individu terbabit boleh dielak jika mereka mematuhi prosedur operasi stantard (SOP),” katanya ketika ditemui selepas mengadakan Ops Patuh COVID-19 di TSK, di sini.

Mengulas Ops Patuh Covid-19 di TSK hari ini, beliau berkata, operasi itu lebih kepada memantau pematuhan SOP terutama pengusaha bas yang boleh membawa 50 peratus kapasiti penumpang.

 Oleh itu, katanya, JPJ akan meneruskan operasi itu dari semasa ke semasa sehingga tamat tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) dikuatkuasakan.

“Tindakan ini dilakukan mengikut bidang kuasa dan peruntukan undang-undang serta SOP JPJ dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.