Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@gmail.com
Pic Mohd Imran Izzad
KUANTAN: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang mengesan terdapat antara 25 hingga 30 gajah bergerak dalam beberapa kumpulan di kawasan Hutan Simpan Ibam, Muadzam Shah.
Pengarahnya, Rozidan Md Yasin, berkata satu kumpulan enam gajah dikesan masuk ke kawasan projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Kota Perdana, malam kelmarin, dan memusnahkan pokok nangka dan pisang.
Menurutnya, siasatan pihaknya mendapati pagar elektrik tidak berfungsi disebabkan tidak diselenggara di samping banyak rumput dan pokok renek tumbuh dekat kawasan itu.
Katanya, faktor berkenaan menyebabkan kumpulan haiwan terbabit mudah memecahkan pagar berikutan kuasa elektrik agak rendah dan tidak memberi kesan kepadanya.
“Pegawai Pejabat PERHILITAN Muadzam Shah sudah mengarahkan peserta TKPM Kota Perdana supaya dapat membersihkan tumbuhan sepanjang pagar itu.
“Ini pertama kali gajah masuk ke kawasan TKPM Kota Perdana, sejak Jabatan Pertanian Pahang membina pagar elektrik,” katanya, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kejadian dua pekebun nangka madu J33 dan pisang yang kerugian lebih RM70,000 selepas sekumpulan gajah memusnahkan kebun mereka di kawasan projek TKPM Kota Perdana.
Rozidan berkata, pekebun di TKPM Kota Perdana perlu sepakat melakukan penyelenggaraan kawasan pagar elektrik bagi memastikan ia sentiasa berfungsi.
“Kita akan menghalau haiwan terbabit supaya masuk semula ke dalam Hutan Simpan Ibam, saya juga berharap pekebun dapat bekerjasama membuat pemantauan secara bersama,” katanya.
Pekebun, Mohd Derus Abdul Latif, 62 berkata mereka tidak menerima sebarang arahan daripada pihak berwajib untuk menjaga serta menyelenggarakan pagar elektrik itu.
“Kami sukar untuk membersihkan rumput dan pelepah kelapa sawit jatuh di atas pagar elektrik disebabkan kuasa elektrik tidak dimatikan,” katanya.